Permohonan UPU 2018/2019 Secara Online (Langkah Demi Langkah)


Berita baik kepada semua lepasan SPM, STPM dan setaraf yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti dan institusi pendidikan awam di Malaysia, Permohonan UPU 2018/2019 akan dibuka tak lama lagi.

Borang permohanan UPU membolehkan anda untuk memohon kemasukan ke universiti-universiti awam di Malaysia, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kebangsaan.

Kami akan berkongsikan kepada anda maklumat-maklumat, tarikh dan masa, dan cara memohon yang betul untuk memudahkan anda.

Maklumat UPU adalah seperti dibawah

UPU ialah satu sistem atas talian (online) yang diwujudkan pihak kerajaan bagi memudahkan para pelajar memohon, mengemaskini dan mengetahui keputusan kemasukan ke institusi-insitusi pendidikan awam di Malaysia.

Sebelum membuat permohonan, anda perlulah membeli Nombor Pin Unik UPU di Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran anda. Anda boleh mendapatkannya samada di kaunter atau terus di mesin ATM dengan harga RM15.60 sahaja.

Tanpa nombor pin ini, anda tidak boleh mengakses borang permohonan di portal rasmi UPU sekaligus anda tidak dapat memohon.

Tarikh pembelian nombor pin UPU mula dibuka dari 5 Februari 2018 hingga 9 April 2018.

Tarikh Tarikh Penting Permohonan UPU Bagi Tahun 2018

PERKARA TARIKH
Nombor Pin Mula Dijual 5 Februari 2018 hingga 9 April 2018
Permohonan UPU mula dibuka 5 Februari 2018 (12 tengahari) hingga 10 April 2018 (11.59 malam)
Semakan Keputusan permohonan UPU Seawal 21 Mei 2018
Permohonan UPU fasa ke-2 28 Jun 2018 – 2 Julai 2018

Kategori Dan Syarat-Syarat Permohonan UPU

Terdapat 2 kategori pemohon yang layak untuk memohon UPU. Dibawah ialah 2 kategori tersebut beserta syarat-syarat memohon:

1. Lepasan SPM/Setaraf (bagi permohonan ke program Persijilan, Diploma, Asasi, Matrikulasi, Politeknik Premier, Kolej Komuniti)

  • Hendaklah warganegara Malaysia
  • Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya dengan sekurang-kurangnya mendapat 5 kepujian termasuk Bahasa Melayu dan Lulus matapelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM/Setaraf.
  • Program pengajian terbuka kepada Bumiputera dan Bukan Bumiputera
  • Program Bumiputera sahaja – Semua program di UITM, Asasi UIAM, Asas Sains dan Alam Bina UM, Asasi UNIMAS, Asasi UMS
  • Program terbuka Bumiputera & Bukan Bumiputera – Program asasi di UPM, UKM, UPNM, Asasi Pengajian Islam UM, Tamhidi USIM, Diploma di UPM, UTM, UPSI, UTHM, UMT, UTeM, UMP, UniMAP dan Unisza dan program Politeknik Premier

2. Lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi, Politeknik dan Setaraf (Untuk meohon program sarjana muda (degree)

  • Terbuka kepada warganegara Malaysia dan bukan Warganegara
  • Bagi bukan warganeraga terus memohon ke IPTA berkenaan tanpa perlu memohon melalui portal UPU
  • Lulus SPM atau peperiksaan setaraf yang dikitiraf Kerajaan Malaysia dan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
  • Lulus STPM pada tahun 2013 dan ke atas dan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan ke atas
  • Gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Pengajian Am, dan
  • Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain, atau
  • Asasi & Matrikulasi – Sekurang-kurangnya PNGK 2.00
  • Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) – Sekurang-kurangnya Pangkat Jayyid
  • Diploma atau kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat IPTA; atau
  • Lulus peperiksaan STPM Tahun 2012 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam tiga (3) mata pelajaran termasuk Pengajian Am atau Matrikulasi/Asasi Tahun 2012 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 atau STAM tahun 2011 dan sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya Tahap Jayyid; dan
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET)

Syarat Khas – Mengikut Kursus Pengajian Yang Dipohon

Terdapat banyak program yang ditawarkan melalui portal UPU, tetapi tidak semua program layak untuk anda pohon. Syarat-syarat khas ini terbahagi kepada 2 jenis kelayakan iaitu

  • Universiti Awam (IPTA ) : Anda boleh menyemak samaada anda layak ataupun tidak ke IPTA di pautan ini
  • Politeknik Premier, Konvensional dan METrO : Anda boleh menyemak samada anda layak ataupun tidak ke politeknik di pautan ini

Anda juga boleh mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci berkenaan program yang anda inginkan termasuklan syarat am kemasukan, syarat khas, senarai program pengajian dan lain-lain maklumat berkaitan institusi pendidikan pilihan anda dengan e-Panduan yang disediakan

Cara Membuat Permohonan UPU 2018-2019 Secara Online (Langkah Demi Langkah)

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membuat permohonan UPU untuk kedua-dua kategori (lepasan SPM/setaraf atau lepasan STPM/setaraf).

Cara Membuat Permohonan UPU 2018 2019 Langkah Demi Langkah
Kredit : Twitter UPU

Langkah 1 : Beli Pin Unik UPU

Pemohon hendaklah mendapatkan dan membeli pin unik UPU di Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran anda. Pin ini booleh dibeli di kaunter BSN atau mesin ATM sahaja dengan harga RM15.60

Contoh Nombor Pin UPU Unik BSN
Contoh Nombor Pin UPU Unik BSN Yang Dibeli Di Kaunter

Langkah 2 : Pergi ke url portal UPU di link dibawah (klik)

Link ini hanya dapat diakses pada tarikh permohonan dibuka. Anda akan diminta untuk memasukkan nombor pin unik UPU yang telah anda beli di BSN.

Langkah 3 : Daftar Akaun Untuk Kali Pertama

Setelah memasukkan nombor pin unik, anda akan diminta untuk mendaftar akaun di Portal UPU dan menetapkan kata laluan pilihan anda.

Setelah mendaftar, anda dapat mengakses portal UPU dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang anda telah tetapkan.

Langkah 4 : Login Dan Mula Isi Borang UPU

Setelah berjaya login masuk ke portal UPU, anda sudah boleh untuk mula mengisi kesemua maklumat di borang permohonan. Terdapat beberapa maklumat yang anda perlu isi iaitu :

  • Maklumat peribadi
  • Maklumat Keluarga
  • Maklumat akademik
  • Maklumat Pilihan Program Pengajian
  • Maklumat lain-lain

Langkah 5 : Semak Kesemua Maklumat

Pastikan anda semak ke semua maklumat yang anda masukkan dan pastikan maklumat tersebut betul dan tepat terutamanya di bahagian maklumat pilihan program pengajian.

Setelah berpuas hati dengan semua maklumat tersebut…

Langkah 6 : Klik Sah & Hantar Dan Paparkan Slip Permohonan

Setelah anda klik butang Sah & Hantarm pastikan anda klik pula butang Paparkan Slip Permohonan. Dari situ, anda boleh simpan fail PDF permohonan tersebut atau terus mencetak/print.

PENTING! : Sebaik-baiknya anda terus cetak dan simpan slip permohonan tersebut. Ini penting sebagai bukti yang anda telah pun mengisi borang permohonan UPU.

Ini kerana dikhuatiri terdapat masalah atau ralat di masa hadapan yang menyebabkan permohonan anda hilang dari sistem dan lain-lain perkara yang tidak diingini.

Nota : Anda juga boleh mengemaskini maklumat-maklumat anda selagi dalam tempoh mengisi borang. Mana tahu, anda berubah fikiran mengenai program pilihan yang anda mahukan dalam tempoh tersebut.

Maklumat Lanjut Permohonan UPU 2018-2019

Sekiranya anda mahukan maklumat lanjut, atau soalan yang ingin ditanyakan dan berita terkini tentang permohonan dan semakan keputusan UPU bagi tahun 2019/2019, anda boleh merujuk kepada

Pemohon juga boleh melawat dan berkunjung ke pameran Karnival Jom Masuk U/IPTA yang berhampiran tempat anda. Untuk tarikh dan lokasi terkini karnival ini, boleh merujuk gambar dibawah :

Soalan-Soalan Yang Kerap Ditanya Tentang Permohonan UPU (Klik Soalan Untuk Dapatkan Jawapan)

1. Bagaimana sesuatu program itu dipilih pihak kementerian? Apakah itu meritokrasi dalam kemasukan pelajar?

Meritokrasi ialah penentuan nilai merit yang digunapakai tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri dan lain-lain. Ianya berdasarkan prinsip:

  1. 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum bagi kemasukan ke 20 UA dan 3 Politeknik Premier
  2. 75% markah akademik, 15% sosioekonomi dan 10% markah kokurikulum bagi kemasukan ke Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti dan ILKA

2. Apa beza Politeknik Premier, Politeknik Konvesional, dan Politeknik METrO?

Politeknik Premier ialah politeknik yang setaraf dengan universiti awam. Terdapat 3 politeknik premier di Malaysia iaitu :

  1. Politeknik Ungku Omar, Perak (PUO)
  2. Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Selangor (PSA)
  3. Politeknik Ibrahim Sultan, Johor (PIS)

Politeknik Konvensional ialah selain dari Premier dan METrO iaitu sebanyak 25 buah :

  1. Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang
  2. Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah
  3. Politeknik Kota Bharu, Kelantan
  4. Politeknik Kuching, Sarawak
  5. Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan
  6. Politeknik Kota Kinabalu, Sabah
  7. Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang
  8. Politeknik Melaka, Melaka
  9. Politeknik Kuala Terengganu, Terengganu
  10. Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu
  11. Politeknik Merlimau, Melaka
  12. Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kedah
  13. Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak
  14. Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor
  15. Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis
  16. Politeknik Muadzam Shah, Pahang
  17. Politeknik Mukah, Sarawak
  18. Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang
  19. Politeknik Jeli, Kelantan
  20. Politeknik Nilai, Negeri Sembilan
  21. Politeknik Banting, Selangor
  22. Politeknik Mersing, Johor
  23. Politeknik Hulu Terengganu, Terengganu
  24. Politeknik Sandakan, Sabah
  25. Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Johor

Manakala Politeknik METrO ialah politeknik yang dtubuhkan dengan tujuan memenuhi keperluan sosio ekonomi tempatan dan wilayah berhampiran dalam bidang tertentu. Hanya 5 buah METrO yang ada setakat hari ini iaitu :

  1. Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL)
  2. Politeknik METrO Kuantan, Pahang (PMKU)
  3. Politeknik METrO Johor Bahru, Johor (PMJB)
  4. Politeknik METrO Betong, Sarawak (PMB)
  5. Politeknik METrO Tasek Gelugor, Pulau Pinang (PMTG)

3. Bolehkah saya mengakses portal UPU tanpa membeli Pin Unik ID?

Boleh. Tetapi akses anda dihadkan dan anda tidak dapat mengisi borang permohonan. Anda hanya boleh mengakses manual pengguna UPUOnline dan e-Panduan (Syarat Am dan Khas Kemasukan)

4. Sekiranya saya tersilap isi borang permohonan, bolehkah saya mengubahnya?

Boleh sekiranya masih dalam tempoh mengisi borang permohonan. Anda boleh mengemaskini, mengubah apa sahaja maklumat yang diberikan selagi dalam tempoh pengisian borang.

5. Perlukah saya mencetak slip permohonan setiap kali kemaskini atau pengubahsuaian maklumat dilakukan?

Ya. Kerana sistem UPUOnline hanya menerima maklumat terkini yang anda Sah dan Hantar.

6. Adakah saya akan ditawarkan program pengajian yang bukan pilihan saya?

Ya sekiranya anda pemohon untuk kategori lepasan SPM/Setaraf. Dengan syarat anda menanda bahagian untuk menerima tawaran luar pilihan (bersetuju)

Bagi program lepasan STPM/Setaraf, anda hanya ditawarkan program yang anda pilih sahaja.

Sekiranya tidak berjaya, anda boleh memohon rayuan fasa 1 dan seterusnya fasa 2. Rayuan hanya diterima dan diberikan sekiranya terdapat kekosongan pada program yang dipilih.

7. Berapakah pilihan yang wajib saya pilih untuk pengajian saya?

Wajib memilih minima 5 pilihan program pengajian atau boleh gabungkan
kedua-duanya menjadi 8 pilihan program pengajian.

Jadi, hanya letak program yang anda minat sahaja. Ini kerana, sekiranya anda letak sehingga 8 pilihan dan pilihan ke-7 anda terpilih walaupun anda tidak minat, anda tidak boleh untuk membuat rayuan.

8. Saya ada program yang saya nak sangat, bagaimana untuk pastikan saya boleh berjaya?

Susun program pengajian mengikut keutamaan kerana permohonan pertama akan disaring terlebih dahulu dan semak syarat kelayakan am & khas program pengajian.

9. Sekiranya saya gagal, bilakah saya boleh membuat rayuan semula?

Rayuan hanya untuk mereka yang tidak ditawarkan apa-apa program. Bagi mereka yang mahu menukar program, atau dapat politeknik dan nak tukar ke IPTA, ianya tidak dibenarkan.

Permohonan rayuan akan dibuka pada 21-25 Mei. Permohonan rayuan hanya akan dibuka dalam tempoh 5 hari bekerja selepas keputusan permohonan kemasukan ke IPTA dan Politeknik Premier diumumkan.

Bagi permohonan rayuan ke Politeknik Konvensional/Metro, Kolej Kumniti dan ILKA, anda boleh terus merayu di agensi berkenaan.

10. Saya ada memohon ke IPG/IPTS/SPA8i/Biasiswa. Adakah saya akan gagal dalam permohonan UPU?

Tidak. Ini adalah mitos sahaja. Sistem permohonan  IPG/IPTS/SPA8i/Biasiswa adalah sistem yang berbeza dengan UPU dan tidak mengganggu keputusan permohonan UPU.

11. Biologi saya dapat D. Tapi saya mahu apply Asasi Sains. Mana tahu dapat kan

Sistem UPU adalah sistem berkomputer 100%. Jika salah satu syarat tidak ditepati, permohonan akan ditolak serta merta tanpa budi bicara. Sistem tiada budi bicara.

12. Sekiranya saya buat rayuan dan memohon program yang sama, adakah saya berpeluang untuk dapat?

Peluang untuk anda dapat bergantung pada syarat dan kekosongan tempat program tersebut. Pemohon dinasihatkan memilih program yang sesuai dengan keputusan SPM atau STPM atau Setaraf.

Dinasihatkan untuk memlilih program program kemahiran, kerana bidang kemahiran menjadi rebutan majikan dan sangat besar peluang pekerjaan di masa hadapan.

13. Sekiranya saya ditawarkan program yang saya tak minat, bolehkah saya memohon untuk menukar program tersebut?

Tidak boleh. Semua keputusan dan tawaran adalah muktamad. Anda tidak dibenarkan untuk menukar ke program lain.

Moga-moga perkongsian ini dapat memudahkan anda mengisi dan menghantar borang permohonan UPU anda seterusnya berjaya mendapat program yang anda idamkan.