Minyak kelapa dara atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai Virgin Coconut Oil merupakan minyak daripada buah kelapa yang cukup matang. Ia dikeluarkan daripada suatu proses khas supaya tidak merosakkan struktur asal mahu pun khasiat semulajadinya.
Minyak kelapa dara diproses tanpa menggunakan haba atau sebarang bahan kimia. Ia mengandungi pelbagai nutrien yang jarang diketahui umum.
Sekitar awal tahun 1960an, seorang pakar jantung yang juga seorang Pengarah Pusat Penyelidikan Wabak Penyakit di Hospital Wellington, New Zealand, Dr. Ian A. Prior telah membuat penyelidikan di dua buah pulau iaitu Pulau Puka-puka dan Pulau Tokelau di Lautan Pasifik Selatan. Beliau mendapati penduduk setempat yang mengamalkan pengambilan kelapa sebagai diet harian mempunyai paras kolestrol yang rendah serta tiada sebarang penyakit kronik seperti sakit jantung mahu pun kanser.
Kandungan Minyak Kelapa Dara
90% daripada kandungan minyak kelapa dara adalah lemak tepu. Selebihnya merupakan pecahan lemak tak tepu dan beberapa vitamin. Berikut adalah huraian bagi kandungan minyak kelapa dara.
1. Asid lemak tepu
Kebanyakannya adalah Medium Chain Trigliserida (MCT), Asid Laurik (40%) merupakan kandungan utama. Ini diikuti dengan Asid Kaprat, Asid Kaprilat dan Miristat Asid Pulmitat.
2. Asid lemak tak tepu : Asid Linoleic.
3. Asid lemak tak tepu tunggal : Asid Oleik.
4. Beberapa terbitan Asid Lemak seperti :
– Betaines
– Ethanolamide
– Ethoxylates
– Fatty Ester
– Fatty Polysorbates
– Polyol Ester
5. Vitamin E, Vitamin K dan mineral seperti Zat Besi.
Kelebihan Minyak Kelapa Dara
Minyak kelapa dara mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan minyak sayuran lain. Di antaranya ialah :
– Memiliki sifat antioksidan semulajadi.
– Tidak membebankan organ pankreas.
– Mengandungi lemak tepu rantai sederhana yang mudah dihadam.
– Mula dihadamkan di mulut (enzim saliva) dan di perut. Sifat ini menjadikan minyak kelapa dara sesuai untuk mereka yang ada masalah gangguan sistem pencernaan, masalah metabolik dan bayi pramatang yang sistem tubuhnya belum berkembang.
– Menghasilkan tenaga segera dengan cepat.
– Tiada asid beracun (trans fatty) yang merosakkan tubuh kerana ia diproses secara organik.
– Tiada LDL (Low-density Lipoprotein) atau juga dikenali sebagai ‘bad cholesterol’.
– Bersifat antivirus, antibakteria, antifungus dan anti-protozoa.
– Bertindak sebagai anti kanser dan anti Histamine (mengelakkan alahan).
Khasiat Minyak Kelapa Dara
Minyak kelapa dara terkenal di kalangan masyarakat dengan pelbagai khasiat jika diamalkan dengan betul. Di antara khasiatnya yang utama ialah :
– Dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.
– Merangsang metabolisme tubuh.
– Bantu menurunkan serta mengekalkan berat badan ideal.
– Dapat membunuh virus, bakteria, kulat dan protozoa dalam tubuh.
– Menghalang pembentukan radikal bebas.
– Memelihara keremajaan kulit.
– Melindungi kulit dari terkena jangkitan penyakit yang disebabkan oleh kulat dan bakteria.
– Menggalakkan pembentukan sel kulit yang baru (keanjalan dan kelembutan kulit lebih terserlah).
– Meningkatkan daya ketahanan tubuh.
– Memelihara sistem pencernaan. Ia membantu membuat seseorang berasa tidak mudah lapar sekaligus mengawal berat badan secara semulajadi.
– Memudahkan pencernaan zat mineral dan vitamin. Khasiat ini baik untuk warga emas.
Manfaat Minyak Kelapa Dara Kepada Pengguna
1. Atasi masalah resdung
Minyak kelapa dara berkesan menentang penyakit berpunca daripada kuman seperti resdung kerana sifat pembasmi kuman yang dimilikinya.
Pada awal tahun 1966, seorang profesor farmakologi dan penyelidik di Universiti Michigan telah menemui sifat antivirus dan antibakteria pada sejenis lemak tepu aktif yang merupakan bahan penting dalam minyak kelapa dara.
2. Atasi masalah tiroid
Mereka yang menghidap penyakit tiroid (hipertiriodisme atau hipotiriodisme) boleh dibantu dengan minyak kelapa dara. Ia dapat merangsang fungsi tiriod serta mempunyai pelbagai sifat antiseptik.
3. Penjagaan rambut dan kulit kepala
Salah satu nutrisi terbaik untuk rambut adalah minyak kelapa dara. Ia membuatkan rambut tumbuh dengan lebih sihat dan bersinar.
Urutan kepala menggunakan minyak kelapa dara pula membantu memeliharanya daripada kelemumur, kutu dan telurnya serta merawat kulit yang kering.
4. Penjagaan kulit
Minyak kelapa dara merupakan minyak urut dan pelembap kulit yang bagus. Ia berkesan sebagai pelembap bagi semua jenis kulit termasuk kulit kering.
Dibandingkan dengan krim pelembap biasa, sebenarnya minyak kelapa dara jauh lebih baik. Ini kerana sifatnya yang mampu menyerap sepenuhnya ke dalam kulit, menjadikan kulit tidak melekit atau berminyak.
Selain mengekalkan kelembapan, minyak kelapa dara juga berupaya untuk merawat masalah kulit seperti psoriasis, dermatitis dan ekzema.
5. Kesihatan jantung
Kandungan 50% – 70% Asid Laurik di dalam minyak kelapa dara membantu mencegah pelbagai masalah jantung termasuklah kadar kolesterol tinggi dan hipertensi.
Lemak tepu yang terdapat dalam minyak kelapa dara tidak berbahaya seperti lemak tepu yang terkandung dalam minyak sayuran lain. Ia mengurangkan risiko kecederaan arteri dan mencegah arterosklerosis.
6. Memelihara berat badan unggul
Minyak kelapa dara mengandungi lemak rantai sederhana yang mudah dicerna dalam sistem pencernaan. Ia sekaligus meningkatkan metabolisme tubuh dengan menghilangkan tekanan pada pankreas dan membakar lemak berlebihan.
Selain daripada manfaat yang telah disebutkan, minyak kelapa dara juga bagus diamalkan oleh mereka yang menghidap penyakit diabetis. Mereka yang mempunyai masalah gigi dan tulang pun elok amalkan minyak kelapa dara sebagai rutin harian.
Cara Mendapatkan Minyak Kelapa Dara
Biasanya, minyak kelapa dara boleh didapati di farmasi atau toko-toko jamu. Tapi, jika ada yang rajin nak cuba buat sendiri, berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh diikuti.
1. Sediakan peralatan dan bahan yang diperlukan.
– Corong
– Beberapa bebola kapas
– Kain lembut atau tuala dapur. Tisu muka pun boleh. (Bukan tisu tandas).
– Sudu besar
– Bekas untuk letak santan
– Balang atau botol untuk kumpul minyak kelapa dara
2. Letakkan santan yang masih dalam bungkusan ke dalam bekas bertutup.
3. Biarkan sekurang-kurangnya selama 24 jam. Letak bekas tersebut di tempat yang panas seperti di dalam almari atau dalam bonet kereta semasa cuaca panas.
4. Buih-buih kesan dari proses penapaian akan mula kelihatan selepas tempoh itu.
5. Santan tadi kemudian disimpan dalam peti sejuk bahagian beku selama 3 hingga 4 hari untuk proses pembekuan pertama.
6. Selepas cukup tempoh, keluarkan santan yang telah beku. Biarkan cair sepenuhnya. Minyak kelapa dara telah mula terbentuk ketika ini.
7. Santan yang telah cair itu kemudiannya disimpan semula ke dalam peti sejuk beku selama 2 jam. Ini untuk membekukan semula minyak kelapa dara dan sisa pepejal yang telah terasing dari bahan cecair.
8. Selepas 2 jam, keluarkan santan dan buang cecair dari bungkusan santan tersebut. Sisa cecair itu adalah produk terakhir daripada proses penapaian. Ia masih boleh digunakan untuk tujuan lain (disiram pada tanaman misalnya).
9. Letak kain/tisu pada corong yang telah disumbat dengan bebola kapas. Sudukan minyak dan biarkan ia mencair di atas kain.
10. Minyak akan mula menegang dan perlahan-lahan menitis ke dalam balang/botol. Itulah minyak kelapa dara yang bersih dan selamat untuk diamalkan.
Cara Menggunakan Minyak Kelapa Dara
1. Penggunaan dalam makanan.
Bagi sesiapa yang boleh telan minyak dengan mudah, mungkin boleh makan minyak kelapa dara ini secara terus begitu saja.
– Orang dewasa (13 tahun ke atas)
1 – 2 sudu makan sebelum sarapan pagi dan selepas makan malam.
– Kanak-kanak (4 tahun hingga 12 tahun)
1 – 2 sudu teh sebelum sarapan dan selepas makan malam.
– Kanak-kanak (Bawah 2 tahun hingga 3 tahun)
1 sudu teh di dalam susu formula/minuman/makanan.
– Bayi (6 bulan hingga 1 tahun)
3 – 4 titis di dalam susu formula/minuman/makanan.
2. Penggunaan melalui masakan.
– Minyak kelapa dara memerlukan suhu yang tinggi untuk meruap. Ini menjadikan ia sesuai untuk digunakan sebagai minyak masak.
Namun begitu, harganya yang agak mahal mungkin akan sangat membebankan.
Alternatifnya, minyak kelapa dara boleh digunakan sebagai ganti kepada mentega untuk digriskan pada acuan kek. Boleh juga dijadikan minyak menggoreng untuk telur dadar.
– Jika mahu membuat jus atau mengisar makanan, boleh juga mencampurkan sedikit minyak kelapa dara ke dalamnya.
– Bagi yang gemar membuat mayonis di rumah, boleh menggantikan minyak sayuran biasa dengan minyak kelapa dara.
– Minyak kelapa dara juga boleh digunakan sebagai ganti kepada minyak sayuran dalam pembuatan kek dan kuih.
3. Penggunaan luaran.
– Sapuan pada kulit.
Minyak kelapa dara bagus untuk merawat masalah kulit kering, menghilangkan stretch mark dan tapak kaki merekah.
Ia boleh juga dijadikan minyak urut, disapukan pada luka dan kecederaan ringan.
– Sapuan pada rambut dan kulit kepala.
Urutan kepala secara perlahan sambil menyapukan minyak kelapa dara dapat merangsang pertumbuhan rambut yang cantik.
Urutan tersebut perlu dilakukan 2 kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan malam sebelum tidur.
– Sapuan pada muka.
Beberapa titis minyak kelapa dara diurutkan ke muka secara perlahan-lahan. Urutan ini perlu dilakukan pada setiap malam sebelum tidur untuk kesan yang terbaik.
Menyapu sedikit minyak kelapa dara pada tempat yang berjerawat pula dapat mengecutkan jerawat tersebut dengan lebih cepat.
– Guna untuk mata.
Minyak kelapa dara dapat mengurangkan kelesuan mata serta merawat mata yang selalu merah-merah. Kepada sesiapa yang banyak mengadap komputer atau kerap memandu jauh, elok amalkan penggunaan minyak kelapa dara untuk kesihatan mata.
Caranya dengan menitiskan 1 ke 2 titik minyak kelapa dara ke dalam mata pada waktu pagi dan malam. Minyak kelapa dara yang digunakan mestilah 100% organik.
– Merawat resdung.
Bagi mereka yang mempunyai penyakit resdung disarankan untuk mengamalkan penggunaan minyak kelapa dara. Ia bagus untuk melawan jangkitan kuman serta bakteria yang ada di dalam hidung.
Beberapa titik minyak kelapa dara dititiskan di telapak tangan, kemudian disedut ke dalam hidung. Ia perlu diamalkan setiap hari pada waktu pagi dan petang.
Kesimpulannya, minyak kelapa dara mempunyai khasiat yang jauh berbeza dengan minyak kelapa biasa. Ia jernih, tidak berbau tengik dan mudah meresap bila disapukan ke kulit.
Akhir kata, semoga perkongsian ini memberi gambaran yang jelas mengenai minyak kelapa dara dan khasiatnya. Yang penting, sebelum mengamalkan mana-mana petua, pastikan terlebih dahulu minyak kelapa dara yang ingin digunakan adalah berkualiti tinggi supaya kesan yang diinginkan dapat dicapai.