Punca Dan Tanda-Tanda Buasir

Punca Dan Tanda-Tanda Buasir

Buasir atau hemoroid merupakan bengkakkan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Bengkakkan ini adalah tidak normal walaupun lazimnya ia tidak sakit.

Namun begitu, apabila vena tersebut membonjol keluar, ia menggangu dan menyebabkan membran di sekitarnya terus membengkak. Ini menyebabkan kesakitan, perit, gatal dan pendarahan berlaku.

Jenis-jenis buasir

Buasir terbahagi kepada 2 jenis. Buasir dalaman dan buasir luaran. Buasir dalaman biasanya tidak sakit atau gatal kerana terletak jauh ke dalam rektum.

Buasir jenis ini tidak merbahaya tetapi perbuatan meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh menyebabkan permukaan buasir tercedera dan berlaku pendarahan.

Titisan darah akan kelihatan pada mangkuk tandas atau tisu yang digunakan.

Manakala buasir luaran mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di bahagian dubur. Jika buasir ini tersepit, bekalan darah akan terputus. Darah akan membeku di dalamnya dan sangat menyakitkan.

Punca-punca berlaku buasir

Punca-punca utama penyebab terjadinya buasir adalah:-

1) Sembelit

Najis yang keras serta sukar untuk dikeluarkan memaksa kita meneran dengan kuat semasa membuang air besar.

Proses meneran dengan kuat tersebut memberi tekanan berlebihan pada otot-otot di sekeliling pangkal dubur (dalaman dan luaran).

2) Terlalu banyak duduk atau berdiri dalam tempoh masa yang lama

Apabila kita duduk atau berdiri terlalu lama, ia memberi tekanan kepada salur darah vena di bahagian anus dan dubur. Lama-kelamaan ia boleh menyebabkan buasir terjadi.

3) Amalan pemakanan yang kurang seimbang

Kurang mengambil sayuran dan buah-buahan menyebabkan badan kekurangan serat yang dapat melancarkan proses pembuangan air besar.

4) Kurang meminum air putih

Air merupakan keperluan badan yang utama. Kekurangan air di dalam badan akan menyebabkan berlaku pelbagai masalah.

Satu daripadanya ialah masalah pembuangan air besar yang akhirnya menyebabkan buasir.

5) Jarang melakukan senaman Kegel

Otot-otot di sekitar anus dan dubur boleh dilembutkan dengan melakukan senaman Kegel. Ia merupakan senaman kemutan yang dibuat berulang-ulang beberapa kali.

Punca lain yang boleh menyebabkan berlakunya buasir ialah

  • Duduk mencangkung terlalu lama.
  • Batuk yang teruk dan kerap.
  • Cirit-birit berpanjangan dan teruk.
  • Banyak mengangkat benda berat dalam posisi mengangkang dan terlalu lama.

Faktor risiko mendapat buasir

Beberapa faktor yang boleh menjadi punca kepada terjadinya buasir adalah seperti berikut

  1. Kerap meneran ketika membuang air besar. Ini merupakan faktor paling biasa penyebab buasir.
  2. Bekerja atau melakukan aktiviti berat seperti kerja buruh.
  3. Sejarah keluarga mengalami buasir. Jika ada di antara ahli keluarga kita pernah mengalami buasir, kita juga berisiko untuk terkena penyakit sama.
  4. Mengandung biasanya menjadi faktor penyebab wanita muda mengalami buasir.

Tanda-tanda terkena buasir

Kita mungkin mengalami masalah buasir jika terdapat tanda-tanda seperti berikut

  1. Terdapat gumpalan lembut yang boleh dirasai di sekitar bahagian dubur.
  2. Rasa gatal dan pedih di bahagian dubur.
  3. Pendarahan berlaku, terutamanya semasa atau selepas membuang air besar diikuti dengan rasa perit dan sakit.
  4. Rasa kurang selesa ketika duduk, berdiri maupun berjalan. Terutamanya jika memakai kasut bertumit tinggi.
  5. Pucat, tekanan darah rendah (hypotension), lemah badan, lesu, kurang bermaya dan mudah berasa pening. Jika pendarahan dibiarkan terlalu lama, boleh menyebabkan pitam atau pengsan.

Tahap-tahap buasir

Buasir di kategorikan kepada 4 tahap berbeza.

Buasir Tahap 1

Biasanya pesakit mengalami pendarahan ringan dan tidak sakit. Ia dirawat dengan ubat vasotopik untuk menghentikan pendarahan dan disaran mengubah diet pemakanan yang lebih sihat.

Buasir Tahap 2

Terdapat jisim yang terjulur keluar tetapi masuk dengan sendirinya selepas membuang air besar.

Kaedah rawatannya sama seperti buasir Tahap 1 tetapi dengan sedikit penambahan rawatan.

Rubber ligation, suntikan fenol dan photocoagulation dipertimbangkan sebagai langkah rawatan tambahan tersebut.

Buasir Tahap 3

Sama keadaannya seperti Tahap 2 tetapi jisim yang terkeluar perlu dimasukkan semula secara manual dengan menekan ia kembali ke dalam dubur.

Buasir Tahap 4

Jisim terkeluar dannkekal di luar anus. Keadaan ini boleh menyebabkan berlaku pendarahan dalaman, luka dan bernanah. Ia mengakibatkan kesakitan yang amat serius.

Bagi buasir Tahap 3 dan 4, memerlukan rawatan melalui pembedahan. Kaedah yang biasa digunakan ialah ‘Haemorrhoidetomy’ sama ada secara terbuka atau tertutup.

Kesan selepas pembedahan adalah sangat menyakitkan dan proses penyembuhan pula memakan masa di antara 3 hingga 4 minggu untuk pulih sepenuhnya.

Oleh itu, adalah amat penting untuk kita berusaha menjaga kesihatan diri dengan baik. Amalkan pemakanan seimbang, minum air secukupnya dan jadikan senaman sebagai amalan harian.

Jika sudah terkena penyakit seperti buasir, bukan sahaja aktiviti harian terjejas, malah emosi dan pemikiran kita juga boleh menjadi negatif.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *