Cara Solat Istikharah Yang Mudah Untuk Mohon Petunjuk & Jodoh

cara solat istikharah beserta niat dan doa

Sebagai manusia pasti ada ketikanya kita terpaksa membuat satu pilihan dari beberapa pilihan yang ada. Keputusan dari pilihan itu bukan sahaja merubah kehidupan kita, malah mungkin melibatkan orang lain di sekeliling anda.

Antara perkara yang selalu membuatkan kita perlu memilih ialah :

  • Memilih calon isteri
  • Memilih universiti dan program pengajian yang mahu diceburi
  • Memilih pekerjaan dan tempat kerja yang sesuai
  • dan pelbagai lagi keadaan

Oleh kerana kita ialah manusia yang sangat lemah dan tidak mengetahui tentang masa depan kepada setiap keputusan yang kita ambil, Allah Taala menyarankan kita menyerahkan tugasan itu kepada-Nya dengan bersolat Istikharah.

Solat Istikharah ialah solat yang dapat membantu kita untuk membuat pilihan yang lebih baik dan disandarkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Solat Istikharah ini telah diajarkan Rasulullah SAW dalam salah satu hadisnya:

Diriwayatkan oleh Jabir b Abdullah R.A :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا اْلاِسْتِخَارَةَ فِي اْلأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِاْلأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي – أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي قَالَ وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada kami Istikharah dalam segala perkara sebagaimana Baginda mengajarkan surah daripada Al-Qur’an dengan bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu hendak melakukan suatu perkara, maka dirikanlah sembahyang dua rakaat selain sembahyang fardhu, kemudian hendaklah dia mengucapkan (berdoa selepas itu):

“Ya Allah sesungguhnya aku memohon daripadaMu pilihan (kebaikan) dengan pengetahuanMu dan aku memohon agar Engkau menjadikan aku mampu (untuk melaksanakan urusan) dengan kekuasaanMu yang agung.

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini baik bagiku di dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku (atau Baginda bersabda) kesegeraan urusanku dan kelambatannya maka jadikanlah aku mampu untuk melaksanakannya dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.

Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku di dalam agamaku, kehidupanku, kesudahan urusanku (atau Baginda bersabda), kesegeraan urusanku dan kelambatannya, maka palingkanlah ia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan jadikanlah kebaikan itu bagiku di mana-manapun, kemudian jadikanlah aku reda terhadapanya. Baginda bersabda: “Dan disebutlah akan hajatnya.”
(Hadis riwayat Bukhari)

[Baca juga : Cara Solat Tahajjud Yang Betul Dan Mudah]

Waktu Mengerjakan Solat Istikharah

Solat istikharah boleh dilakukan bila-bila masa selain dari waktu makruh untuk solat. Waktu-waktu makhruh ialah

  • iWaktu terbit matahari (selepas subuh) sehingga matahari naik segalah kadar tujuh hasta (satu hasta itu kira-kira 18 inci).
  • Waktu istiwâ’ (beberapa minit sebelum zohor) iaitu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga matahari tergelincir atau condong ke barat kecuali pada hari Jumaat.
  • Waktu kekuning-kuningan (sebelum Maghrib) matahari sehingga tenggelam segala bulatan matahari di ufuk.
  • Selepas sembahyang Shubuh bagi orang yang telah bersembahyang Shubuh sehingga matahari terbit.
  • Selepas sembahyang ‘Ashar bagi orang yang telah bersembahyang ‘Ashar sehingga tenggelam matahari.

Waktu yang terbaik untuk mendirikan solat ini ialah pada tengah malam, iaitu kira-kira 1 jam sebelum waktu solat Subuh. Kerana waktu ini, suasananya lebih tenang dan mendamaikan untuk anda lebih khusyu’ beribadah kepada Allah Taala.

Cara Melakukan Solat Istikharah Yang Betul

Solat istikharah sepetimana solat-solat sunat yang lain adalah sama dari segi rukun dan syarat sahnya. Tiada yang berbeza. Apa yang membezakan hanyalah pada lafaz niatnya.

Walaubagaimanapun, untuk memudahkan, para Ulama’ ada menggariskan cara dan bacaan yang boleh dilakukan yang bersandarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

1. Niat Solat Istikharah

أُصَلِّي سُنَّةَ اْلاِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Lafaz niat isthikarah dalam rumi : Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

2. Rakaat pertama

  • Baca Al-Fatihah diikuti dengan Surah Al-Kafirun
  • Atau boleh membaca Surah Al-Fatihah diikuti dengan Surah Al-Qasas ayat 68-80 dibawah

وَرَبُّكَ يَخلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَختَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبحَـنَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشرِكُونَ ¡ وَرَبُّكَ يَعلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُم وَمَا يُعلِنُونَ ¡ وَهُوَ اللَّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِى الأُولَى وَالاخِرَةِ وَلَهُ الـحُكمُ وَإِلَيـهِ تُرجَعُونَ ¡
(سورة القصص : 68-70)

Maksudnya : “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu- satu daripada makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah).

Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya daripada apa yang mereka sekutukan denganNya. Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan. Dan Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia.

Segala puji tertentu bagiNya, di dunia dan akhirat dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

3. Rakaat Kedua 

  • Baca Surah Al-Fatihah diikuti dengan Surah Al-Ikhlas
  • atau Baca Surah Al-Fatihah diikuti dengan Surah Al-Ahzab ayat 36 dibawah

وَمَا كَانَ لِمُؤمِنٍ وَلاَ مُؤمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الـخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم وَمَن يَعصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلَـلاً مُّبِينًا
(سورة الأحزاب : 36)

Tafsirnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

4. Sujud yang terakhir

Sujud akhir sebelum duduk tahiyat akhir, bacalah tasbih berikut sebanyak 40 kali. Kemudian nyatakan hajat di dalam hati :

tasbih-sujud-istikharah

Maksudnya : Maha Suci Engkau yang kami tiada ilmu kecuali apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui Lagi Mana Bijaksana

5. Setelah salam, berwirid dan berzikir sebentar sebelum memanjatkan doa.

[Baca juga : Cara Solat Hajat & Doa Solat Hajat Yang Ringkas Mengikut Ulama’]

 

Doa Solat Istikharah Yang Dianjurkan Rasulullah SAW

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ. اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (دسبوتكن اتو دنيتكن حاجتث دسيني) خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وَعَاجِلهِ وَآجِلِهِ ، فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي وَعَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ.

Ertinya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon daripadaMu pilihan (kebaikan) dengan pengetahuanMu dan aku memohon agar Engkau menjadikan aku mampu (untuk melaksanakan urusan) dengan kekuasaanMu yang Agung.

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (disebutkan atau diniatkan hajatnya di sini) baik bagiku di dalam agamaku, kehidupanku, kesudahan urusanku, segeranya dan kelambatannya, maka jadikanlah aku mampu untuk melaksanakannya dan mudahkanlah ia bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.

Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku di dalam agamaku, kehidupanku, kesudahan urusanku, segeranya dan kelambatannya, maka palingkanlah ia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan jadikanlah kebaikan itu bagiku di mana-mana pun, kemudian jadikanlah aku redha terhadapnya.”

Setelah berdoa, bertawakallah sepenuh hati kepada Allah dengan syarat anda juga telah berusaha sebaiknya. Moga-moga diberikan kelapangan hati dan ketenangan minda.

doa qunut solat subuh

Sekiranya selepas anda mendirikan Solat Isthikarah tetapi masih lagi ragu ragu dengan keputusan yang bakal anda ambil, dirikanlah lagi solat Isthikarah sehingga diberi petunjuk dan ketetapan hati dalam keputusan tersebut.

Lakukan solat ini 3-7 hari berturut-turut.  Moga-moga diberi kecenderungan dan petunjuk dalam salah satu dari pilihan dan keputusan urusan tersebut.

Saranan ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik yang mana Rasulullah SAW bersabda :

يَا أَنَسُ إِذَا هَمَمْتَ بِأَمْرٍ فَاسْتَخِرْ رَبَّكَ فِيْهِ سَبْعَ مَرَّاتٍ ، ثُمَّ انْظُرْ إِلَى الَّذِي يَسْبِقُ إِلَى قَلْبِكَ فَإِنَّ الْخَيْرَ فِيْهِ
(رواه ابن السني والديلمي)

Maksudnya: “Wahai Anas, apabila engkau hendak melakukan sesuatu perkara, maka pohonkan kepada Tuhanmu (untuk membuat pilihan yang terbaik) dalam perkara itu sebanyak tujuh kali, kemudian engkau lihatlah (tunggu) apa yang datang di dalam hatimu, sesungguhnya kebaikan ada dalam istikharah itu.”
(Hadis riwayat Ibnu Al-Sinni dan Al-Dailami)

Moga-moga solat Istikharah ini dapat membantu memberi petunjuk kepada segala kekusutan dan membuatkan anda memilih yang terbaik berdasarkan petunjuk dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui. Amin.

Sumber : Fatwa Irsyad Brunei, Norhatekah, Panduan Solat Istikharah – Abu Ezzat Al-Mubarak

 


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *