Dua pertiga permukaan bumi adalah air dan hanya satu pertiga adalah tanah. Populasi bumi yang semakin membesar menyebabkan air seringkali menjadi mangsa rakusan manusia.
Semuanya bermula pada era Revolusi Industri pada abad ke-19. Semakin membesar era ini, semakin tercemar kawasan persekitarannya termasuklah pencemaran air sungai di Malaysia
Apakah Itu Pencemaran Air?
Pencemaran air ialah apa-apa perubahan yang berlaku secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, biologi, atau radioaktif air sehingga menjejaskan kegunaan dan fungsi air tersebut kepada manusia dan hidupan lain. (1)
Apakah Punca Utama Pencemaran Air?
Kebanyakan air yang tercemar bukan berpunca dari air itu sendiri. Contohnya, 80% laut yang tercemar puncanya datang dari tanah besar dan pemangsanya ialah manusia sendiri.
Antara punca utama pencemaran air di Malaysia ialah pembuangan sisa dan toksin dari kilang industri. Ini kerana kos pelupusan tidak perlu ditanggung pihak pengurusan kilang. Ianya lebih menjimatkan.
Selain itu juga, sisa buangan kilang ini juga sangat berbahaya kepada manusia dan hidupan air sehingga boleh mengancam nyawa dan kepupusan spesies. Sisa-sisa ini juga tidak dapat diuraikan dan mendap di dasar sungai atau laut dalam tempoh yang sangat lama. (2)
Menurut Jabatan Alam Sekitar, rekod menunjukkan sebanyak 45.1% punca pencemaran di Malaysia datangnya dari industri pembuatan dan stesen rangkaian pam minyak.
Punca kedua pencemaran di Malaysia pula ialah datang dari masyarakat Malaysia sendiri yang suka membuang sampah ke dalam sungai. Sikap ini yang tidak terkawal menyebabkan sungai sudah lagi tidak selamat untuk sebarang aktiviti. Ini dapat dilihat di sunga-sungai sekitar Lembah Klang.
Punca seterusnya datang dari industri pertanian. Para petani menyebut baja dan racun perosak pada tanaman mereka. Sisa dari aktiviti ini akan diserap tanah dan kemudiannya akan mengalir ke sungai dan tali air berhampiran.
Ini akan menyebabkan kadar pembiakan alga dan plankton menjadi sangat tinggi dan menyebabkan hidupan air lain terbunuh. Contohnya, Di Gulf Of Mexico, kawasan itu diisytiharkan sebagai Zon Mati kerana sekitar kawasan tersebut tiada langsung hidupan kesan dari pencemaran air. (3)
[Baca juga : Pencemaran Alam Sekitar – Fakta, Punca Dan Kesan Kepada Manusia ]
Di Malaysia pula, kilang khinzir antara punca tertinggi air tercemar disebabkan industri pertanian. Menurut statistik, populasi babi adalah sebanyak 1.74 juta di Malaysia ini.
Pertumpahan minyak juga menjadi punca pencemaran air di Malaysia. Antara punca terjadinya pencemaran minyak ialah pelanggaran kapal di laut dan berlakunya kebocoran tangki minyak sehingga menututp lapisan air.
Contohnya, pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal MT Bunga 3 yang membawa 61 000 lebih tan metrik minyak tanah telah menyebabkan kawasan laut Tanjung Ayam tercemar teruk.
Kesan-Kesan Pencemaran Air
- Kepada Kesihatan Manusia
Secara amnya, pencemaran air membunuh manusia. Pada tahun 2015 sahaja, 1.8 juta manusia mati kerana pencemaran air di seluruh dunia. (4)
Air yang tercemar membuatkan kita sakit kerana ia membawa beribu jenis bakteria dan virus yang berpunca dari bahan buangan dan toksin merbahaya. Antara penyakit yang dikaitkan dengan pencemaran air ialah cirit birit, typhoid dan kanser usus.
Malah, air yang tercemar bukan sahaja bahaya untuk diminum, malah ia juga memberi kesan sekiranya kita berenang dan boleh mengakibatkan kanser kulit atau sakit-sakit kulit yang lain.
- Kepada Alam Sekitar
Hidupan air seperti ikan, udang, terumbu karang. rumpai laut dan sebagainya akan mati dan sesetengah spesies boleh terhapus disebabkan pencemaran air.
Sebagai contoh, hampir 78% penyu yang mati adalah disebabkan tertelan plastik atau sisa buangan manusia kerana dianggap makanan oleh mereka. Penyu diwartakan sebagai haiwan yang dilindungi kerana jumlah populasi mereka yang sangat berkurang dan diancam kepupusan.
Selain itu juga, kawasan yang tercemar airnya juga tidak lagi sesuai untuk didiami. Ini kerana, tumbuh tumbuhan tidak dapat hidup dengan baik dan haiwan atau manusia yang minum dari air tercemar itu boleh mati.
Aktiviti-aktiviti seperti memancing, memukat, aktivit air lain juga tidak lagi sesuai diadakan di kawasan yang airnya tercemar.
[Baca juga : 23 Idea DIY Hiasan Dinding Ruang Tamu ]
Langkah Untuk Menghentikan Pencemaran Air
Sebenarnya tiada langkah yang mudah yang boleh diambil. Usaha ini perlu digembeleng dan disertai oleh semua pihak untuk memastikan ianya berjaya.
- Mendidik Masyarakat
Media massa dan media elektronik perlu memainkan peranan yang penting dan kerap bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahayanya pencemaran air.
Selain itu juga, sikap cintakan kebersihan perlu dipupuk semenjak dari kecil lagi dan ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan sebaik mungkin dalam hal ini.
Tunjukkan contoh yang baik seperti membuang sampah ke dalam tong sampah, mengutip sampah yang nampak di lantai dan lain-lain lagi.
- Undang Undang
Selain itu juga, pihak kerajaan melalui pihak berkuasa pula perlu bertegas dan menguatkuasakan undang-undang yang telah ditetapkan. Tiada kompromi samada kepada kroni terutamanya pada pihak-pihak kilang.
Antara undang-undang yang perlu dikuatkuasakan ialah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu denda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak berkaitan juga perlu memastikan sistem perparitan diselenggara dengan kerap dan memastikan ianya tidak tersumbat. Dengan cara ini, sampah sarap yang terlepas ke dalam air dapat dialirkan dengan baik.
- Kajian Dan Eksperimen
Manakala bagi pihak cendekiawan dan saintis pula, mereka harus terus menjalankan kajian dan eksperimen bagi mencari solusi dan cara yang lebih mudah bagi menghapuskan sampah terutamanya plastik yang mengambil masa sehingga ratusan tahun untuk lupus.
Kesimpulannya, pencemaran air berlaku berpunca dari manusia dan manusia jugalah yang perlu merancang dan bertindak bagi memastikan pencemaran air tidak menjadi teruk.