Pencemaran Alam Sekitar – Fakta, Punca Dan Kesan Kepada Manusia


Kepesatan teknologi dan pembangunan di seluruh dunia banyak memberi manfaat dan memudahkan manusia. Tetapi, ada bayaran yang besar nilainya yang perlu dibayar seiring dengan pembangunan moden iaitu pencemaran alam sekitar.

Pencemaran alam sekitar sudah wujud sejak dari zaman batu lagi apabila manusia mula belajar untuk menghidupkan api. Buktinya, para pengkaji menjumpai kesan terbakar di dinding gua tempat manusia tinggal pada zaman dahulu.

Pencemaran zaman moden pula bermula pada era ‘Revolusi Industri’ pada tahun 1850 dimana bahan kimia dan toksin yang tidak dirawat dilepaskan ke air berdekatan.

Revolusi Industri inilah antara punca terawal wujudnya pencemaran alam sekitar yang kita kenali hari ini.

Revolusi Industri
Revolusi Industri

Isu pencemaran alam sekitar juga dikaitkan dengan kenaikan mendadak populasi manusia di sesuatu kawasan yang mana ianya melebihi kekuatan masyarakat itu untuk menguruskan sisa buangan mereka.

Setiap pencemaran terdapat nilai dan pengukuran yang berbeza yang ditetapkan pihak penguatkuasa bagi setiap negara. Sekiranya sesuatu kawasan diuji dan indeksnya melebihi dari kadar normal, baharulah diisytiharkan sebagai tercemar.

 

Jenis-Jenis Pencemaran Alam Sekitar Yang Ada

Antara masalah-masalah pencemaran yang utama yang ada sekarang ini ialah :

  • Pencemaran udara
  • Pencemaran air
  • Pencemaran bunyi
  • Pencemaran tanah
  • Pencemaran radioaktif
  • Pencemaran cahaya
  • Pencemaran haba

Pencemaran-pencemaran ini terhasil dari ciptaan teknologi yang manusia reka dan cipta. Contohnya seperti pencemaran radioaktif yang terhasil dari penciptaan teknologi nuklear.

 

Punca-Punca Yang Menyebabkan Pencemaran Alam Sekitar

 

  • Pencemaran Udara
Pencemaran Udara Di Yangzhou China

Menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia, antara punca utama pencemaran udara di negara kita datang dari asap kenderaan. Penggunaan kenderaan yang sangat tinggi dalam Malaysia menyumbangkan sehingga 53.18% kepada punca pencemaran berbanding yang lain.

Pencemaran udara berlaku apabila terdapat pelepasan bahan kimia dan bendasing ke ruang atmosfera. Antara gas yang selalu dikaitkan dengan pencemaran udara ialah karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan kloflorokarbon yang datang dari ekzos kenderaan.

[Baca Lagi : 15 Idea Kek Hari Jadi ]

  • Pencemaran Air
Pencemaran Air Di Kawasan Setinggan
Pencemaran Air Di Kawasan Setinggan

Pencemaran ini terjadi apabila kilang dan manusia melepaskan sisa bungan industri dan toksin seperti klorin ke punca air mengalir seperti sungai dan laut.

Antara penyumbang terbesar pencemaran air ialah pertanian yang melepaskan baja kimia dan perosak serangga. Sistem pembetungan yang tak dijaga juga membuatkan air tercemar.

  • Pencemaran Bunyi

Bunyi bising yang datang dari jalan raya besar, kapal terbang dan juga kilang berhampiran menghasilkan pencemaran bunyi.

Sekiranya bunyi yang terhasil lebih tinggi dari indeks yang selamat, ia boleh menyebabkan pekak dan sangat berbahaya kepada manusia dan bayi kecil.

  • Pencemaran Tanah

Pencemaran tanah terjadi apabila manusia melepaskan bahan bertoksin  seperti racun perosak, baja kimia, bendasing berat dan klorin ke tanah.

Selain itu juga, sektor pembinaan yang meninggalkan sisa-sisa binaan ke tanah juga membuatkan ia tercemar. Pencemaran tanah memberikan kesan ke atas aktiviti harian manusia dan menyebabkan sesuatu kawasan tidak lagi ditumbuhi pokok dan bunga yang dapat membekalkan oksigen.

  • Pencemaran Radioaktif
Pusat Janakuasa Nuklear

Pencemaran ini antara pencemaran yang baru sahaja wujud dalam abad ke-20. Ianya berpunca dari aktiviti pembinaan, pembangunan dan pengurusan senjata nuklear dan kilang janakuasa nuklear.

Selain itu juga, kesan pencemaran ini dapat dilihat dengan jelas di Hiroshima dan Nagasaki, dua tempat dimana bom atom dilepaskan semasa perang dunia kedua.

  • Pencemaran Cahaya

Pencemaran cahaya juga dikenali sebagai pencemaran-foto yang terjadi apabila terdapat kehadiran cahaya antropogenik pada waktu malam di kawasan tersebut.

Ia terjadi akibat dari penggunaan secara berlebihan lampu dan cahaya dan mengubah keadaan persekitarannya. Penggunaan berlebihan cahaya lampu juga mengakitbatkan pembaziran tenaga yang sangat tinggi.

Pencemaran ini biasanya berlaku di kawasan bandar-bandar besar seperti New York dan Kuala Lumpur.

  • Pencemaran Termal

Pencemaran termal ialah pengurangan kualiti air yang berlaku akibat dari perubahan suhu. Pencemaran ini berpunca dari penggunaan air sebagai agen penyejuk di dalam janakuasa industri kilang.

Apabila air digunakan sebagai agen penyejuk ia akan dilepaskan ke alam sekitar pada suhu yang tinggi. Perubahan suhu secara tiba-tiba ini menyebabkan bekalan oksigen berkurangan sekaligus memberi kesan pada komposisi ekosistem.

Perubahan suhu secara tiba-tiba ini boleh menyebabkan ikan dan organisma lain mati tiba-tiba.


Kesan Pencemaran Alam Sekitar Terhadap Manusia

Setiap jenis pencemaran memberikan kesan yang berbeza terhadap alam sekitar. Secara asasnya, ia terbahagi kepada beberapa kesan iaitu

Kesan Kepada Kesihatan Manusia

Kesan Pencemaran alam sekitar Kepada Manusia
Kesan Pencemaran Kepada Manusia

Kesemua pencemaran memberikan kesan langsung ke atas kesihatan manusia. Sebagai contoh,

  • Pencemaran udara – kekurangan oksigen dan penipisan ozon mengakibatkan penyakit pada saluran pernafasan, sakit dada dan sukar untuk bernafas
  • Pencemaran air – Menurut kajian, 14 000 kematian berlaku setiap hari di seluruh dunia berpunca dari pencemaran air tertutama di negara-negara membangun seperti India, China dan Benua Afrika
  • Pencemaran bunyi – Mengakibatkan hilang pendengaran atau pekak, meningkatkan tekanan darah, stress dan gangguan pada kualiti tidur

[Baca Juga : 7 Khasiat Tembikai Yang Baik Untuk Tubuh ]

Kesan Kepada Alam Sekitar

Kesan pencemaran terhadap alam sekitar
Kesan pencemaran terhadap alam sekitar

Kesan pencemaran terhadap alam sekitar sangat meluas, antaranya ialah:

  • Pelepasan karbon dioksida yang tinggi di udara dan atmosfera menyebabkan tumbesaran pokok yang luar biasa
  • Jerebu dan asap mengurangkan kadar penerimaan cahaya matahari kepada tumbuh-tumbuhan dan merosakkan pokok.
  • Tanah yang tercemar sudah tidak subur dan tidak sesuai untuk tumbuhan. Ini akan merosakkan rantaian makanan semulajadi
  • Pelepas sulfur dioksida dan nitrogen diokisda oleh kilang-kilang boleh menyebabkan turunnya hujan asid yang berbahaya pada kulit manusia dan merendakan nilai pH tanah
  • Pembinaan dan kerosakan hutan mengakibatkan kepupusan pelbagai jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem alam semulajadi

Fakta Pencemaran Alam Sekitar
  1. Tiga tempat paling tercemar di dunia ialah Sungai Citarum, Indonesia (pencemaran air), Hazaribagh, Bangladesh (pencemaran udara) dan Dzershinsk di Rusia (pencemaran radioaktif)
  2. Pencemaran adalah pembunuh nombor satu di dunia dengan memberi kesan sehingga 100 000 000 orang di seluruh dunia
  3. Manusia yang tinggal di kawasan yang tinggi pencemaran udara 20% lebih tinggi berisiko untuk mati berpunca dari kanser jantung
  4. Setiap tahun 1 juta burung laut dan 100 juta mamalia terbunuh disebabkan pencemaran
  5. 80% sisa buangan dan toksin di India dibuang di sungai Ganges
  6. Pencemaran bunyi ialah pencemaran yang paling tidak diambil endah oleh manusia
  7. Terdapat 500 juta unit kereta di dunia dan pada tahun 20 30 dijangka ia akan meningkat kepada 1 bilion
  8. Kira-kira 1000 kanak-kanak mati di india setiap tahun disebabkan air yang tercemar
  9. Antartika ialah kawasan yang paling bersih di Bumi kerana dilindungi dengan undang-undang anti-pencemaran
  10. Pencemaran di China boleh mengakibatkan perubahan cuaca pada seluruh Amerika sekiranya dipindahkan

Jadi, peliharalah alam sekitar kita. Mulakan dengan langkah yang paling mudah iaitu membuang sampah ke dalam tong sampah dan mengasingkan sampah mengikut kategori yang boleh dikitar semula. Moga-moga kita dapat mewariskan bumi yang lebih baik kepada anak-anak nanti.

 


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *