7 Khasiat Tembikai Yang Baik Untuk Tubuh & Tips Memilih Tembikai Yang Manis


Di tengah panas hari terik, pasti lega rasanya tekak kalau dapat minum jus tembikai yang manis dan sejuk. Rasa tembikai yang sedap, manis dan penuh air dapat membantu menghilangkan dahaga.

Walaupun tembikai nampak seperti hanya terdiri daripada gula dan air, tahukah anda sebenarnya tembikai sangat kaya dengan vitamin dan mineral semulajadi?

Tambah menarik, buah ini mempunyai nilai kalori yang sangat rendah. Jadi, tak perlu risau berat badan akan naik walaupun rasanya manis seperti makanan tinggi gula.

 

Fakta Nutrisi Tembikai

1 cawan buah tembikai yang telah dipotong seberat 152 gram mengandungi dan membekalkan:

  • 43 kalori
  • 0 gram lemak
  • 2 miligram garam
  • 11 gram karbohidrat
  • 1 gram serat
  • 17% vitamin A yang diperlukan setiap hari
  • 21% vitamin C yang diperlukan setiap hari
  • 2% zat besi yang perlu setiap hari &
  • 1% kalsium yang diperlukan badan setiap hari

Banyak kan vitamin dan mineral yang ada dalam tembikai? Malah ia juga kaya dengan mikronutrisi yang lain seperti vitamin b-6, potasium, magnesium dan pelbagai lagi.

 

Jenis-Jenis Tembikai

Tembikai atau nama saintifiknya Citrullu lanatus berasal dari spesies Cucurbitaceae yang dikatakan asalnya datang dari Afrika.

Terdapat 5 jenis tembikai yang berada di pasaran Malaysia, iaitu

  1. Tembikai berbiji
  2. Tembikai tanpa biji
  3. Tembikai susu
  4. Tembikai merah
  5. Tembikai kuning

Fakta Menarik Tentang Tembikai Yang Anda Perlu Tahu

  • Menurut pakar, Tembikai dikatakan antara buah yang wujud seawal ribuan tahun dahulu dan dipercayai wujud ketika zaman Mesir Kuno
  • 90% kandungan tembikai ialah air. Disebabkan itu ia sangat sesuai untuk dijadikan penghilang dahaga
  • China ialah negara pengeluar tembikai terbesar di dunia dengan pengeluaran sebanyak 75 000 000 biji tembikai setahun

7 Khasiat Dan Kelebihan Tembikai Yang Tak Ramai Tahu

1. Membantu Menyihatkan Jantung

Tembikai mempunyai satu nutrisi yang dipanggil lycopene. Lycopene ini membantu melindungi sel badan dari rosak dan membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Ianya terbukti dengan kajian yang dilakukan Universiti Purdue. Selain itu, satu lagi kajian yang diterbitkan pihak Jurnal Hipertensi Amerika juga menunjukkan tembikai dapat membantu mengurangkan tekanan darah tinggi orang dewasa yang obesiti.

2. Sifat Anti-Radang

Lycopene juga mempunyai sifat anti-radang dan mampu bertindak sebagai anti-oksida untuk meneutralisasikan radikal bebas dalam badan.

Sifat anti-radang ini sangat membantu bagi mereka yang mempunyai masalah sakit lutut, arthritis atau penyakit-penyakit yang berpunca dari stres, merokok dan juga pencemaran.

[Baca Juga : 15 Idea Kek Hari Jadi]

3. Membantu Membekalkan Air Kepada Badan

Kandungan tembikai yang penuh dengan air dapat membantu badan dari kehilangan air. Selain itu juga, air tembikai juga adalah konduktor yang baik dan ini sangat bagus untuk menghalang dari berlakunya strok haba.

Jadi, kalau cuaca panas terik, teruslah mencari buah tembikai untuk dimakan ya.

4. Memberikan Kebaikan Pada Kulit Dan Rambut

Vitamin A sangat penting untuk kulit anda dan tembikai mampu membekalkan nutrisi ini kepada badan anda. Vitamin A juga membantu melembapkan kulit dan rambut sekaligus menggalakan pertumbuhan sel kolagen dan elastik yang baru setiap hari.

5. Menghilangkan Sengal Dan Lenguh Pada Otot

Minum satu cawan jus tembikai sebelum melakukan aktiviti sukan atau lasak mampu mengurangkan lenguh dan sengal otot selepas aktiviti tersebut. Fakta ini dibuktikan dengan satu kajian yang diterbitkan Jurnal Agrikultur dan Sains Makanan pada tahun 2013.

Selain itu, satu lagi kajian telah dibuat dan menunjukkan tembikai dapat membantu meningkatkan prestasi ahli sukan yang mengamalkan tembikai sebelum menjalankan sukan tersebut.

6. Menghalang Kanser

Seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang lain, tembikai dikatakan dapat mengurangkan risiko kanser melalui sifat anti-oksida yang ada. Lycopene secara amnya mempunyai perkaitan yang rapat dengan pengurangan kanser prostat menurut Institut Kanser Kebangsaan Amerika.

7. Membantu Buah Pinggang

Setiap hari, anda terdedah dengan pelbagai jenis toksin. Sebahagiannya datang melalui pemakanan dan udara persekitaran anda. Jadi, tugas buah pinggan sangat penting bagi mengeluarkan toksin-toksin tersebut dari badan anda.

2 nutrisi penting yang ada di dalam tembikai, iaitu potasium dan kalsium dapat membantu buah pinggang dalam proses mengeluarkan toksin dari badan. Jadi, amalkan makan tembikai setiap pagi untuk kesihatan yang lebih baik.

 

Tips Memilih Dan Membeli Tembikai Yang Terbaik

Seperti durian, tembikai juga ada cara bagaimana untuk dipilih supaya anda dapat tembikai yang kualitinya terbaik dan rasanya sedap dan manis.

Kini anda tak perlu lagi risau, kami kongsikan kepada anda tips memilih tembikai yang terbaik.

1. Kenali Jantina Tembikai

Ehh..Tembikai pun ada jantan betina? Ya. Tembikai juga ada jantina.Tembikai yang lonjong seperti bola ragbi mengandungi banyak air manakala tembikai berbentuk bulat seperti bola lebih manis rasanya.

2. Kenalpasti Kawasan Kuning Tembikai

Kawasan berwarna kuning yang terdapat pada kulit tembikai. Tembikai yang sudah masak mempunyai warna seakan-akan kuning-oren dan bukannya putih

3. Lihat Rekahan Pada Kulit Tembikai

Lagi banyak rekahan seperti sarang labah-labah yang ada pada tembikai menunjukkan lebah menyentuh tembikai untuk didebungakan. Lagi banyak debunga, lebih manis tembikai.

4. Ukur Saiz Buah Tembikai

Untuk yang terbaik, pilih tembikai yang saiznya sederhana. Bukan yang terkecil mahupun yang terbesar.

5. Periksa ‘Ekor’ Tembikai

Ekor tembikai yang kering menunjukkan tembikai tersebut telah pun masak. Sekiranya ekor tersebut masih lagi hijau, kemungkinan buah tersebut telah dipetik terlalu awal.

[Baca Juga : Semakan Online Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) 2018]

 

Cara Simpan Buah Tembikai Untuk Bertahan Lama

Buah tembikai juga seperti buah-buahan lain. Ia mempunyai tarikh luput tertentu apabila disimpan terlalu lama.

  • Biasanya tembikai boleh bertahan sehingga 3-4 minggu selepas dipetik dari kebun.

Untuk membolehkan tembikai dapat bertahan lebih lama anda hanya perlu meletakkannya di atas meja dan biarkan begitu sahaja.

  • Sekiranya tembikai telah dipotong separuh, balut tembikai dengan plastik wrap dan masukkan ke dalam peti ais.
  • Manakala, jika dipotong kecil-kecil. Masukkan dalam peti ais untuk membolehkan ia bertahan sehingga 3-5 hari.

Buah tembikai mempunyai khasiat dan sedap untuk dimakan. Selepas ini, sekiranya anda dipelawa untuk makan tembikai, jangan malu dan segan. Ambil dan nikmati buah yang kaya nutrisi ini sebaik mungkin.

Cuma, ambil dalam kuantiti sederhana. Walau apa pun yang anda makan, jangan berlebih-lebihan.

 


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *