Cara Solat Dhuha & Doa Dhuha Yang Betul & Sangat Mudah Dilakukan


Solat dhuha sangat banyak kelebihannya. Waktu dhuha adalah salah satu waktu yang sangat besar kelebihannya disisi Allah.

Waktu dhuha bermula dari naiknya matahari sehinggalah matahari naik tinggi panas terik dan condong ke barat. Waktu yang terbaik untuk mendirikan solat sunat dhuha dan mengamalkan doa dhuha ialah antara jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Cara Kira Waktu Solat Dhuha Di Malaysia

Ini ialah formula mengikut kaedah falak dalam mengira waktu solat dhuha bermula. Sangat sesuai untuk dipelajari kita

Contoh Keadaan

Saya tinggal di Alor Setar Kedah

Formula :

Waktu Syuruk (boleh rujuk kalendar di kawasan masing-masing) + 1/3 (Waktu Syuruk-Waktu Subuh) = Waktu Dhuha

Waktu Syuruk di Alor Setar : 7:10 pagi

Waktu Subuh di Alor Setar : 5:50 pagi

Cara kira :

= 7.10 pagi + 1/3 (7.10-5.50 pagi)

= 7.10 pagi + 1/3 (1 jam 20 minit)

= 7.10 pagi + 27 minit

= 7.37 pagi bermulanya waktu dhuha di Alor Setar

Manakala waktu akhir dhuha ialah kira-kira 9-10 minit sebelum masuknya waktu solat zohor. Ketika ini, matahari mula bergerak condong ke barat.

Dari Zaid bin Arqam r.a, berkatanya, Nabi Muhammad ﷺ keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Sunat Dhuha. Baginda  ﷺ bersabda :

“Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.” (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi).

 

Cara Mendirikan Solat Sunat Dhuha Yang Mudah Dan Betul Menurut JAKIM

Hukum mengerjakan solat sunat ini ialah sunat muakkad. Iaitu satu amalam sunat yang sangat-sangat dituntut dalam Islam.

Solat dhuha ini boleh dilakukan 2 rakaat atau mencecah sehingga 12 rakaat.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى أَرْبَعًا ، وَيَزِيدُ مَا شَاءَ اللَّهُ

“Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam shalat Dhuha sebanyak empat (rakaat), kadang beliau menambah mengikut keinginannya.”

Jadi, anda boleh mengerjakan samaada 2 rakaat, 4 rakaat, 6 rakaat, 8 rakaat, 10 rakaat atau pun 12 rakaat.

Tatacara Solat Dhuha

1. ​​​​​​​Niat Solat

Niat solat dhuha dalam rumi : Ushollii sunnaatadluhaa rak’ataini mustaqbil alqiblati adaa-a llillaahi ta’aala.”

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

2. Bacaan Surah Dalam Solat

Dari segi rukun dan syarat sah, ianya sama seperti anda mengerjakan solat fardhu lima waktu setiap hari. Cuma, yang membezakan ialah bacaan surah.

Bacaan surah ini hanyalah cadangan yang dianjurkan para ulama’. Anda juga boleh membaca apa-apa surah yang mudah mengikut kesesuaian diri anda.

Antara surah yang disarankan ulama ialah :

1. Sekiranya anda mengerjakan solat ini sebanyak 2 rakaat sahaja

ayat kursi
Ayat Kursi
Surah Al-Ikhlas
Surah Al-Ikhlas
Surah As-Syams
Surah As-Syams
Surah Ad-dhuha
Surah Ad-dhuha
Surah Al-Lail
Surah Al-Lail
Surah Al Insyirah
Surah Al-Insyirah

2. Sekiranya mengerjakan Solat ini lebih dari empat rakaat

3. Setelah habis solat dhuha, anda dianjurkan untuk membaca doa berikut

Doa Dhuha – Lafaz, Ejaan Rumi Dan Terjemahannya

Solat dhuha boleh dikatakan tidak lengkap sekiranya tidak diiringi dengan doa ini. Solat dhuha yang biasanya dikaitkan dengan murah rezeki sangat berkait rapat dengan bacaan doa ini.

Ini antara lafaz dan bacaan doa dhuha yang boleh diamalkan

اللّهُمَّ إِنَّ الضّحَاءَ ضَحَاؤُكَ ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ ، اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ ، وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ ، وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ ، بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ ، آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

Bacaan doa solat dhuha dalam rumi : Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka, walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka. Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu, wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu, bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin

Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu Dhuha-Mu
Kecantikannya Kecantikan-Mu
Keindahannya Keindahan-Mu
Kekuatannya Kekuatan-Mu
Kekuasaannya Kekuasaan-Mu
Perlindungannya Perlindungan-Mu

Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, per-Mudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah

Berkat waktu Dhuha
Kecantikan-Mu, keindahan-Mu
Kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu

Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh

Untuk lebih memudahkan anda untuk menghafal seterusnya mengamalkan doa ini, kami kongsikan doa dhuha berlagu yang dipopularkan kumpulan UNIC di bawah. Moga-moga ianya boleh membantu anda.

Kelebihan-Kelebihan Solat Sunat Dhuha Berdasarkan Hadis Rasulullah SAW

1. Wasiat dan tinggalan sunnah Rasulullah SAW kepada umatnya

“Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

2. Sebagai amalan yang setanding dengan sedekah, berzikir dan mencegah kemungkaran

Diriwayatkan daripada Buraidah bahawa ia berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda;

Pada diri manusia terdapat 363 ruas. Ia memiliki kewajiban bersedekah atas setiap ruas tersebut. Para sahabat bertanya, Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda, Ludah di dalam masjid yang ia timbun (dibersihkan) atau sesuatu (penghalang) yang ia singkirkan dari jalanan. Jika engkau belum mampu, dua rakaat solat Dhuha sudah memadai untuk mewakili kewajipanmu bersedekah. Selain itu, solat dhuha juga adalah sedekah yang setanding dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, berdakwah dan mencegah kemungkaran.”

3. Ganjaran Solat Dhuha seperti Mendapat Harta Perang Yang Sangat Besar

Rasulullah SAW bersabda, 

“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”

(Sahih al-Targhib: 666)

4. Dibinakan Sebuah Rumah Di Dalam Syurga Bagi Mereka Yang Mengerjakan Solat Sunat Dhuha

Sabda Nabi Muhammad SAW

“Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”

(Sahih al-Jami’: 634)

5. Beroleh Rezeki Dengan Kadar Segera

Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda;

Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

6. Mendapat Pahala Seperti Mengerjakan Umrah

Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”

(Sahih Al-Targhib: 673)

7. Diampunkan segala dosa-dosa lampau yang terdahulu

Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Sekiranya kita sedang buntu atau mengalami masalah yang sangat berat, atau sedang terasa susahnya hidup. Berhentilah sekejap dan dirikanlah solat dhuha selama 30 hari berturu-turut. Moga-moga dilapangkan segala masalah, hati menjadi lebih tenang, urusan menjadi lebih mudah dan rezeki melimpah ruah.

Sabda Rasulullah s.a.w

“Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)