Solat tahajjud ialah amalan solat sunat yang paling utama dalam Islam. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang dinukilkan oleh Imam Muslim dalam kitab hadisnya:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud).
Tahajjud bermaksud terjaga atau meninggalkan tidur. Oleh itu, solat tahajjud ini sangat baik dilakukan setelah kita tidur terlebih dahulu di malam hari.
Waktu Solat Tahajjud
Solat tahajjud hanya boleh dilakukan pada waktu yang khusus iaitu selepas solat Isya’ sehinggalah sebelum masuknya waktu solat subuh.
Solat ini paling afdhal dilakukan sendirian setelah bangun dari tidur di kawasan yang sunyi dan tenang. Ini supaya kita dapat fokus dan khusyu’ menyembah Allah Taala.
Solat ini sangat dituntut dalam Islam dan Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat baginda.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra’ ayat 79 :
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Hukum Solat Tahajjud
Solat tahajjud hukumnya ialah sunat muakkad. Iaitu satu ibadah sunat yang sangat-sangat dituntut untuk dilakukan umat Islam.
[Baca juga : Solat Dhuha & Doa Yang Betul Dan Mudah]
Cara Mendirikan Solat Sunat Tahajjud Yang Betul
Sepertimana solat sunat yang lain, solat tahajjud juga sama dari segi rukun, syarat sah dan lain-lainnya seperti solat fardhu.
1. Niat Solat Tahajjud
أُصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكعَتَينِ للهِ تَعَالَي
Niat solat tahajjud dalam rumi : Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala
“Sahaja aku solat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala”
2. Bacaan Surah Alfatihah dan Surah Al-Quran
Tiada sebarang penetapan ayat Al-Quran atau Surah yang perlu dibaca dalam solat ini. Anda boleh membaca apa sahaja surah yang panjang mahupun yang pendek.
Untuk memudahkan, anda boleh membaca Surah Al-Kafirun di rakaat pertama, dan Surah Al-Ikhlas di rakaat kedua.
Para sahabat dan salafussoleh suka membaca ayat-ayat Al-Quran yang panjang seperti yang dilakukan Rasulullah SAW :
عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّي بِهَا فِي رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلًا إِذَا مَرَّ بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَإِذَا مَرَّ بِسُؤَالٍ سَأَلَ وَإِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ ثُمَّ رَكَعَ فَجَعَلَ يَقُولُ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ ثُمَّ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ ثُمَّ سَجَدَ فَقَالَ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ
Daripada Huzaifah, beliau berkata: “Pada suatu malam aku solat dengan Rasulullah s.a.w. Baginda memulakan bacaan dengan al-Baqarah. Aku berkata dalam hati: Baginda akan rukuk apabila sampai ayat ke seratus. Kemudian Rasulullah terus membaca (selepas seratus ayat), lalu aku berkata dalam hati: Baginda akan habiskan al-Baqarah dalam rakaat ini. Lalu baginda habis baca al-Baqarah, maka aku berkata hati: Baginda akan rukuk.
Kemudian Rasulullah memulakan bacaan an-Nisa’ pula, sehingga habis. Kemudian baginda memulakan Ali Imran sehingga habis. Baginda membaca perlahan-lahan, apabila jumpa ayat tasbih, baginda bertasbih, apabila jumpa ayat doa, baginda berdoa, apabila jumpa ayat berlindung, baginda meminta perlindungan.
Kemudian baginda rukuk dan membaca سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ , rukuknya panjang hampir sama dengan berdirinya tadi. Kemudian baginda berkata سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ , baginda berdiri lama hampir menyamai rukuknya tadi. Kamudian baginda sujud dan membaca سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى , sujudnya panjang hampir menyamai berdirinya tadi.” (Hadith riwayat Muslim, dalam Bab Galakan Memanjangkan Bacaan Pada Solat Malam)
Walau bagaimanapun, sekiranya solat tahajjud dilaksanakan secara berjemaah, imam perlulah membaca bacaan yang lebih pendek dan ringkas bagi memudahkan makmum yang lebih tua, sakit atau mempunyai urusan lain
3. Bilangan Rakaat Solat Tahajjud
- Paling kurang 2 rakaat
- Tiada had maksimum rakaat. Anda boleh solat sehingga 100 rakaat sekiranya mampu tetapi yang terbaik dan yang dilakukan Nabi Muhammad SAW ialah sebanyak 10 rakaat dan diikuti dengan 1 rakaat solat sunat witir
4. Berwirid dan Berzikir
Setelah tamat mengerjakan solat ini, jangan tergesa-gesa tetapi sebaiknya ambillah sedikit masa untuk berwirid dan berzikir.
Antara zikir dan wirid yang boleh diamalkan ialah
سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
dan
لا إله إلا الله
Zikir dan wirid ini juga boleh diamalkan semasa selang antara dua rakaat tahajjud sekiranya anda melakukan lebih dari 2 rakaat.
[Baca juga : Doa Qunut Solat Subuh – Bacaan, Rumi dan Penjelasannya]
Doa Solat Tahajjud Yang Ringkas Dan Mudah
Berikut adalah antara doa yang boleh diamalkan selepas solat tahajjud.
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ, وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ, وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ , وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ ,وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ, وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ, اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ, فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَوْ لاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.
Maksudnya : Ya Allah, bagi Mu segala puji. Engkau pencipta dan pemelihara (pengatur) langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mu segala puji, kepunyaan Mu kerajaan langit dan bumi serta segala isinya.
Bagi Mu segala puji, Engkau adalah nur (cahaya) langit dan bumi. Bagi Mu segala puji, Engkau lah penguasa langit dan bumi. Bagi Mu segala puji, Engkau adalah haq (Maha Benar), janji Mu adalah benar, pertemuan dengan Mu adalah benar, firman Mu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah, hanya kepada Mu aku berserah diri, kepada Mu aku beriman, kepada Mu aku bertawakal dan hanya kepada Mu aku kembali. Kerana Engkau aku memusuhi dan hanya kepada Mu aku mengambil keputusan.
Ampunilah aku atas segala yang telah aku lakukan dan apa yang akan aku lakukan, apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku nyatakan. Engkau lah zat yang Maha Awal dan Maha Terakhir, tidak ada sembahan kecuali Engkau.
Amalan-Amalan Sunat Lain Yang Boleh Dibuat Semasa Solat Tahajjud
1. Mengejutkan isteri dan ahli keluarga untuk bangun bersolat tahajjud bersama-sama
“Allah merahmati seorang suami yang bangkit dari sebahagian malam lalu ia sembahyang dan mengejutkan isterinya. Kalau isterinya itu enggan, ia merenjiskan air ke mukanya. Juga Allah merahmati seorang isteri yang bangkit pada sebahagian malamnya lalu ia sembahyang dan mengejutkan suaminya. Jikalau suaminya enggan maka ia merenjiskan air ke mukanya”. (Hadis Abu Daud)
Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu malam dan mengejutkan isteri dan ahli keluarganya atau sebaliknya.
2. Menguatkan suara bacaan atau membaca dengan perlahan
Dibolehkan untuk anda membaca secara perlahan atau dengan suara yang kuat walaupun ianya solat sunat.
3. Memanjangkan Solat
Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang maksudnya, solat yang paling utama ialah yang paling lama berdirinya.
Ini bermaksud, seseorang mendirikan solat dan sengaja membaca ayat yang panjang-panjang dan menghayati solat malam ini.
Kelebihan Dan Fadhilat Solat Tahajjud
- Memudahkan untuk masuk syurga
- Dikurniakan sebuah bilik di dalam syurga nanti
- Membentuk keperibadian yang mula seperti merendah diri dan tidak sombong
- Dijanjikan Allah akan ditinggikan darjat mereka yang bangun dan bersujud pada waktu malam
- Termasuk dalam golongan yang dicintai dan diredhai Allah
- Lebih dekat dan rapat dengan Allah Taala
- Lebih mudah untuk dimakbulkan doa
Soalan Dan Kemusykilan Berkaitan Solat Tahajjud
1. Perlukah untuk tidur terlebih dahulu sebelum bangun mengerjakan solat tahajjud?
Sebahagian ulama’ tidak meletakkan syarat untuk tidur terlebih dahulu sebelum boleh bangun untuk mengerjakan solat malam. Solatnya tetap sah.
Cuma, apa yang lebih afdhol dan menurut apa yang Rasullulah SAW lakukan ialah dengan berehat dan tidur sedikit terlebih dahulu. Ini dapat memberikan tenaga untuk kita solat dengan lebih khusyu’ dan lama.
2. Saya terbangun pada waktu syuruk, bolehkah saya mendirikan solat tahajjud?
Boleh. Selagi tidak masuknya waktu solat subuh, selagi itu anda boleh mengerjakan solat tahajjud. Sekiranya sudah agak lewat, bolehlah meringkaskan bacaan dan mengerjakan hanya 2 rakaat sahaja untuk mengelakkan dari tergesa-gesa dalam solat.